Pelakon terkenal, Diana Danielle mengakui sudah letih menghadapi proses perceraian yang berlarutan di mahkamah melibatkan suaminya, Farid Kamil. Beliau meluahkan harapan supaya prosiding yang berlangsung hari ini di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dapat memberikan keputusan terbaik untuk dirinya.
Menurut Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, beliau sudah berkali-kali terpaksa turun naik mahkamah demi menyelesaikan masalah yang sama kerana keengganan Farid untuk melepaskannya.
“Saya berharap sangat perkara ini selesai hari ini kerana sudah terlalu lama saya turun naik mahkamah menguruskan perkara yang sama. Namun, Farid masih enggan melepaskan saya.
“Saya harap sangat Farid boleh memahami situasi ini,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kira-kira jam 9.25 pagi tadi.
Dalam pada itu, Diana hadir bersama peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader bagi menguruskan prosiding perceraian dan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung hari ini.
Sementara itu, Farid tiba di mahkamah kira-kira 10 minit kemudian, ditemani peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan. Namun beliau mengambil keputusan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media mengenai prosiding tersebut.
Terdahulu, pada 16 Disember tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan telah mengarahkan Farid dan Diana untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai selepas Farid enggan melafazkan cerai dalam prosiding sebelum ini.
Untuk rekod, Jawatankuasa Pendamai terdiri daripada ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak yang bertindak sebagai orang tengah bagi memberi nasihat serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk pasangan yang menghadapi krisis rumah tangga.
Farid dan Diana telah mendirikan rumah tangga sejak 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang anak, Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10 tahun.
Ikuti INFO BANTUAN MALAYSIA untuk info terkini mengenai bantuan di Malaysia.